Tuesday, August 17, 2010

SEKAMPIT BERAS

Tidak mampu beli baju raya anak

Ihsan SinaHarian 18 Ogos 2010.

BUKIT BAYAS - “Tahun ini, mungkin saya terpaksa menghampakan lagi harapan anak untuk mendapatkan baju raya baru seperti tahun lalu kerana saya tidak mampu,” demikian luah seorang ibu, Suhaila Sunita Abdullah, 30.

Suhaila Sunita yang juga mualaf terpaksa meneruskan kehidupan bersama enam anak yang masih kecil selepas suaminya, Umar Selvakumar, 37, menghilangkan diri tanpa berita sejak lima bulan lalu.

Ibu muda ini tidak bekerja dan kini, kehidupan keluarganya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan yang diterima daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sebanyak RM500 untuk perbelanjaan keperluan harian termasuk bayaran sewa rumah yang didiami kini.

“Bukan tidak mahu bekerja tetapi anak saya masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya. Anak sulung saya baru berumur 11 tahun dan yang bongsu pula setahun tujuh bulan.

“Walaupun menyedari kehidupan kami 'ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', tetapi saya terpaksa pasrah dan reda demi menumpukan sepenuh perhatian kepada anak yang masih belum pandai berdikari,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya.

Suhaila Sunita berkata, kehidupan keluarganya berubah sejak suaminya mula mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan kehilangannya tidak mengejutkan kerana sebelum ini, dia pernah menghilangkan diri begitu sahaja selama setahun.

“Saya sekeluarga hidup terkontang-kanting tanpa arah tujuan kerana menjadi mangsa ‘kekejaman’ suami sendiri. Sebelum ini, kami sekeluarga pernah terputus bekalan makanan malah sewa rumah turut tertunggak selama lima bulan berikutan kesempitan hidup.

“Syukur ramai rakan saudara baru terutama daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kuala Terengganu sudi membantu meringankan bebanan dan atas nasihat mereka juga, saya akan bertegas agar tidak ditindas oleh suami,” katanya.

Sementara itu, Suhaila Sunita berkata, dia bimbang memikirkan nasib anak keempatnya Mohd Firdaus Umar Selvakumar, 5, yang masih tidak memiliki sijil kelahiran sehingga hari ini.

“Saya memang berhasrat mendapatkan sijil kelahiran Mohd Firdaus, tetapi terpaksa menangguhkan dari sehari ke sehari kerana tiada kenderaan ke sana.

“Pada masa sama, saya tidak tahu kepada siapa hendak bergantung harap meminta bantuan menjaga sementara anak lain yang masih kecil sepanjang pemergian menguruskan permohonan ini,” katanya.